Bakal pengantin melihat baju perkahwinan di Dubai.
PERKAHWINAN itu sememangnya indah, cuma ia ibarat padah apabila kosnya mencecah jutaan ringgit. Sudahlah membebankan, lebih malang lagi, trend perkahwinan mahal itu hanya mengundang fenomena ramai gadis menjadi solo apabila lelaki berminat memilih wanita asing yang lebih murah kos perkahwinannya.
Tinjauan terbaru akhbar tempatan, Al Itihad, menyatakan wanita asing turut menjadi cara lelaki UAE mengelak perkahwinan yang diatur keluarga serta menunjukkan kebebasan membuat pilihan sendiri.
Apa yang pasti, perkembangan ini mengundang rasa kurang senang pegawai dan pemimpin agama yang menyalahkan kenaikan bayaran mas kahwin, upacara dan majlis perkahwinan besar-besaran yang lebih kepada usaha menunjuk-nunjuk daripada mengutamakan yang wajib, sebagai meningkatkan lagi amalan lelaki memperisterikan wanita di luar sempadan negara berkenaan yang kurang meletakkan harga untuk disunting sebagai suri.
Kecenderungan itu membimbangkan Mufti Besar Dubai, Dr Ahmad al-Haddad, segera bersuara dan mahukan perkahwinan dua negara itu dikekang. Ini menerusi syor pindaan undang-undang perkahwinan yang antara lain mensyaratkan, bakal isteri haruslah warga Arab dan Muslim, lelaki itu masih bujang atau duda, perbezaan usia tidak harus melebihi 25 tahun, lelaki itu berkemampuan dari segi kewangan, pasangan itu bebas daripada sebarang penyakit bawaan seks.
Syor yang diperjuangkan Dr Ahmad itu juga sekali gus tidak menggalakkan poligami.
“Dalam Islam, kita bebas memilih pasangan hidup tetapi kebebasan peribadi itu boleh disekat bagi kebaikan umum,” katanya yang juga sarjana Islam paling kanan di UAE.
Bagaimanapun, cadangan itu dijangka tidak mendapat sambutan kerana beliau berdepan kesukaran memujuk pemerintah Dubai untuk meluluskannya.
Lebih sukar lagi, pemerintah UAE, Sheikh Mohammed Rashid al-Maktoum, sendiri memilih seorang puteri Jordan untuk dijadikan isteri kedua yang jelas bertentangan dengan syor Mufti Besar berkenaan.
Hakikatnya, selain isu kemampuan golongan lelakinya, model ekonomi luar biasa Dubai yang menikmati pembangunan pesat itu menjadikan warga asing mengatasi bilangan penduduk tempatan dan menjadi punca perkahwinan campur semakin bertambah.
Ini menyumbang kepada masalah yang mana ramai wanita UAE lebih berpendidikan berbanding lelaki sebaya mereka mencari suami di kalangan lelaki asing dan sekali gus membawa kepada peningkatan bilangan anak dara tua.
Ramai keluarga wanita itu pula enggan membenarkan anak mereka berkahwin dengan orang luar manakala undang-undang negara itu mensyaratkan lelaki asing perlu memeluk Islam sebelum dibenarkan berkahwin dengan wanita tempatan.
“Budaya UAE juga tidak memberi keadilan kepada wanita tempatan kerana lelaki UAE yang berkahwin dengan wanita asing diterima tetapi wanita pula dilarang mengahwini lelaki asing. Ini tidak adil dan bilangan lelaki tempatan mengahwini wanita asing yang semakin meningkat memaksa 30,000 wanita tempatan menjadi anak dara tua,” kata pengerusi Pertubuhan Kekeluargaan Arab, Jamal Obaid al-Bah.
No comments :
Post a Comment