Kajian dapati lelaki, wanita hadapi kesukaran temui jodoh meski ada ramai kenalan
LONDON: Sudah terbukti seseorang lelaki atau wanita bujang (andartu) akan terus bersendirian sekalipun keluar dengan ramai kenalan untuk mencari teman hidup.
Penyelidik Britain membuat kesimpulan itu selepas menganalisis hasil apa yang dipanggil ‘sesi berkenalan secara pantas’ atau ‘speed dating’.
Pakar terbabit menganalisis keputusan mengenai memilih teman hidup oleh hampir 4,000 lelaki dan wanita di 84 majlis ‘sesi berkenalan secara pantas’ di seluruh Britain baru-baru ini.
Dalam sesi berkenaan, lelaki dan wanita bujang diberi masa tiga minit untuk berbual dengan berpuluh-puluh orang yang berpotensi menjadi jodoh mereka.
Mereka mendapati, orang yang ada ramai kenalan selain memiliki banyak hobi, berbeza pekerjaan dan penampilan, lebih berkemungkinan untuk tidak memilih sesiapa untuk menjadi kekasih sejati.
Selain itu, seseorang yang mencari pasangan hidup mempunyai peluang lebih besar jika kenalan berkenaan ada persamaan dengan mereka.
Dalam satu kajian, 50 lelaki dan wanita yang ada persamaan terbabit dalam sesi berkenaan, penganjur mendapati, mereka menerima 123 pelawaan untuk bertemu lagi pada masa depan.
Tetapi, apabila peserta membabitkan latar belakang berbeza, pelawaan untuk meneruskan perkenalan hanya 88.
Penyelidik Universiti Edinburgh, Alison Lenton, yang mengetuai kajian berkata peserta memutuskan untuk tidak memilih sesiapa kerana ada terlalu ramai untuk dipilih atau disebabkan kekeliruan hingga sukar membuat pilihan.
“Model mengenai sifat rasional manusia kerap menekankan bahawa kepelbagaian adalah sesuatu yang bagus. Tetapi, hasil kajian kami menunjukkan kepelbagaian menyebabkan kekeliruan. Seseorang akhirnya tidak akan membuat pilihan atas sebab itu,” kata Lenton.
No comments :
Post a Comment